Seminggu seketul kemenyan, 10 tahun bahkan hingga 20 tahun kemenyan di tanam di sekeliling rumah. Garam ditabur, air tangkal disiram... apa nak jadi rumah sebegini??
Mengapa hal ini terjadi? Lantaran jahil akan ilmu agama. Maka pergantungan hidup itu hanyalah disandarkan kepada bomoh dan pawang sahaja. Sakit kaki jumpa bomoh, sakit demam jumpa bomoh, sakit kepala jumpa bomoh, sakit batuk jumpa bomoh, sakit hati jumpa bomoh..
Kononnya tuan rumah itu telah di sihir oleh orang yang cemburu atau sakit hati kepadanya. Siapakah yang telah disihir itu? Mungkin peniaga pasar malam. Mungkin seorang guru, mungkin pekerja kilang, bahkan mungkin seorang ustaz !
Maka pergilah dia bertemu pawang. Pawang pun membekalkan kepadanya 4 ketul kemenyan untuk ditanam di sekeliling rumahnya sebagai pendinding. Esok jika tidak sembuh dari sakitnya itu, pergilah dia kepada bomoh yang lain pula. Bomoh yang seorang lagi itupun membekalkannya kemenyan juga atau minyak wangi atau air yang telah di jampi.
Kemenyan diperasap dan ditanam, air jampi disiram bercampur minyak wangi. Penuhlah di sekeliling rumahnya bau-bauan seperti perkampungan bunian ujud di situ. Untuk sekian kalinya selama 10 tahun atau 20 tahun dia sekeluarga mendiami rumah itu, berapa ribu kemenyan telah ditanam? Berapa kilo garam telah ditabur? Berapa tong minyak wangi telah di siram? Apakah yang akan terjadi kepada rumah itu?
Rumah itu hilang serinya !
Penghuni rumah itu akan selalu sakit-sakit. Anak-anak kecil akan selalu terpandang 'lembaga' yang pelik-pelik. Esoknya mereka akan pergi bertemu bomoh lagi minta jampi dan menanam kemenyan lagi. Kononnya kata tok Pawang, ada 'orang dekat' ingin menginiaya.Kita hanya berusaha Allah jua segalanya' Manisnya mulut Tok Pawang menanam prasangka.
Sedang rumahnya telahpun menjadi sarang segala hantu dan jin, tempat berhimpun segala macam jembalang dan puaka. Jin yang suka kepada bau-baun kemenyan arab, duduk bersarang di sekeliling rumahnya kerana ada AURA kemenyan arab di situ. Jin yang suka kepada colok cina , akan juga berkampung di sekeliling rumahnya kerana ada aura colok cina di sekeliling rumah itu. Jin yang suka akan wangi-wangian yang telah di tangkal akan sentiasa bermain-main di sekelilikg rumahnya.
Sedang jiran tetangga hidup gembira dan bebas, mereka hidup dalam ketakutan dan penuh dendam. Jika ada jiran tetangga yang tersenyum kepadanya, dibalasnya dengan muka yang masam. Kononnya jiran itu tersenyum gembira kerana telah memberi susah kepada hidupnya sekeluarga. Patutlah jiran itu tersenyum-senyum kerana dialah yang telah menyihir keluarga kita, begitulah detik hati mereka.
Esok dia akan bertemu pawang lagi bagi mendapatkan pendinding, bahkan jika boleh membalas dendam. Sedang tangan menabur garam, si jiran tersenyum tidak faham. Disangkanya sihir jiran itu terlalu kuat hingga tidak apa-apa akibat jampi dan serapahnya. Begitulah dia setiap hari hingga matilah dia dalam ketakutan, mati dalam syak wasangka, mati dalam dosa, sedang jiran itupun sebenarnya tidak tahu apa-apa!
Matilah dia meninggalkan waris-waris yang pendendam, meninggalkan anak-anak yang menyangka ayahnya telah mati akibat sihir, mati meninggalkan anak dan cucu yang hidup penuh hasad dan dengki. Keturunan yang mendampingi dukun dan pawang, keturunan penakut dan busuk hati. Rumahnya menjadi suram walaupun tidak bercat hitam. Masuk ke rumahnya pun perasaan akan menjadi lain macam.
Tidakkah pernah anda semua terjumpa rumah sebegini? Rumah yang cantik tetapi tiada seri. Suram lagi penuh misteri. Dihuni oleh orang sentiasa merasa dirinya telah di sihir? Penghuninya bermuka masam dan keluh kesah sepanjang hari? Yang susahnya sentiasa datang dari orang lain bukannya dari diri sendiri?
Atau sebenarnya ia adalah rumah yang sedang tuan-tuan huni? Atau selama ini andalah yang telah mendatangkan 'laknat' bagi rumah anda sendiri ???
Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita akan kembali. Tinggalkan pemikiran berdosa seperti ini.. Sekian.- Kiyai Reformis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan