KENYATAAN MANAKAH YANG BENAR BAGI ANDA DI HARI INI ?

'Like' dan bagi komen..

Rabu, 25 Mei 2011

Catatan Tentang Histeria


Maaf jika telahan ini menggusarkan sedikit perasaan seseorang yg selalu diserang histeria. Pada kebiasaannya orang mengatakan seorang yg 'lemah semangat' akan mudah diserang histeria. Kenyataan ini ada benarnya. Sungguhpun begitu sebab-sebab seseorang itu 'lemah semangat' tidak diberitahu. Dan bagaimanakah keadaan yang dikatakan semangat yang lemah itu?

Minta ampun, minta maaf, buat ibu-bapa yg ada anaknya selalu terkena histeria, atau bagi pengidap 'penyakit' histeria itu sendiri, jika perkataan saya ini menyinggung perasaan anda atau satu tuduhan yang tidak berasas. Mudah-mudahan akan pulih perasaan anda setelah membaca secebis tulisan saya ini. Itupun jika ianya mengenai akan perihal kehidupan anda.

Adapun histeria ini melalui pendapat doktor moden adalah akibat gangguan saraf otak dek tekanan perasaan. Begitu mudah. Makan pil dan tidur paksa untuk merehatkan saraf. Itu saja ubatnya yang mereka tahu. Ini tidak membaiki banyak keadaan. Suka atau tidak kebanyakan manusia percaya org yang terkena histeria itu berkaitan juga dengan gangguan makhluk halus. Sebab itu akhirnya ustaz atau pawang juga yang dijemput bagi memperelokkan keadaan. Bahkan pendapat golongan ustaz dan pawang ini juga yang diminta hatta dalam siaran di televisyen mahupun radio.

Maka di sini, sukalah saya melontarkan pendapat berkenaan hal ini yang menjadi 'kepercayaan' bagi saya pula. Mengenai siapakah orang yang akan terkena histeria itu.

1- Pertama, seorang yang selalu lemah semangat dan rendah diri (walaupun rajin solat)
2- Kedua, seorang yang tidak pernah solat (walaupun kuat semangat)
3- Tidak pernah solat dan lemah semangat

Dalam tulisan ringkas ini saya hanya ingin mengulas golongan yang pertama dahulu. Biasanya orang perempuan. Tak kiralah yang berperangai gila-gila, kekadang berperawakan seperti muslimah yang baik. Rajin bersolat dan membaca Al Quran. Tetapi mengapa ia mudah juga kesampukkan?

Kita bicara dulu serba sedikit tentang berdirinya batang tubuh manusia itu dengan dua unsur; zahir dan batin. Kita katakan yang zahir itulah jasad dan batin itulah roh. Dikatakan roh itu boleh terpisah dari jasad ketika kita mati atau tidur dan bermimpi. Kerana jasad dan roh boleh terpisah maka, saya percaya jasad dan roh juga boleh menjadi renggang. Dalam kerenggangan itulah sebenarnya telah memberi ruang kepada makhluk halus mendiami jasad seseorang. Kekadang mendiaminya sepintas lalu, bahkan ada yang mendiaminya seumur hidup!

Persoalannya, mengapa jasad dan roh seseorang menjadi renggang?

Dalam sesebuah keluarga, pengaruh didikan amat penting. Sehinggakan keluarga seorang ustaz menjadikan anak gadisnya kelihatan begitu 'muslimah' sekali. Itu bukan jaminan anak itu tidak akan diserang histeria, jika sekiranya satu ketika si gadis pernah 'jatuh' dan kecewa. Maksud kejatuhan bagi saya adalah satu tragedi atau titik hitam dalam hidupnya.

Tragedi atau titik hitam itu bermacam-macam bentuknya. Sebagai contohnya; jika bapanya selalu mencela rupa paras, 'muka awak lebih molek jika pakai tudung' ertinya jika tidak bertudung dia bukanlah gadis yang molek dan cantik. Atau terang-terang anak itu dikatakan 'tidak lebih cantik dari adik beradiknya yang lain'. Atau dia selalu mencela anaknya sebagai anak yang paling tidak pandai (bodoh). Atau anak itu mendapat tekanan pelajaran yang tidak terbawa oleh pemikirannya. Biasanya dilakukan pihak ibubapa yang mahu memastikan semua anaknya masuk universiti. Ini satu tragedi.

Tragedi yang lebih dahsyat jika suatu masa, kanak-kanak itu pernah dicabul bahkan dirogol dalam pengetahuan atau tanpa pengetahuan sesiapa. Ini juga satu tragedi. Ia telah berlalu begitu lama . Mungkin 10 atau 15 tahun yang lalu ketika ia masih anak kecil.

Justeru demi masa yg berlalu, anak gadis kecil itu telah pun menjadi remaja. Akan tetapi remaja yang bagaimanakah dia sebenarnya? Apakah yang ada dalam dirinya? Ia telah menjadi seorang remaja yang mungkin pandai dalam pelajaran, mungkin rajin bersolat. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia amat 'benci' kepada dirinya sendiri..

Maka, diharungilah kehidupan itu sebagai seorang remaja yang telah renggang antara roh dan jasadnya.

Baiklah, kita pergi kepada seorang remaja yang terkena histeria. Dia menjerit, terpekik terlolong, kadang-kadang dia diam dengan mata yang tajam merenung sesuatu. Ada masanya dia berbicara dengan bahasa yang tidak difahami. Demikian, dipanggil seorang ustaz pawang mengubatinya. Dibacakan beberapa ayat Al Quran, dan dia pulih. Ada yang pulih sepenuhnya, ada yang pulih sementara.

Bagi yang pulih sementara, bila ustaz pawang pulang, ia dirasuk semula. Mengapa? Inilah yang saya katakan tadi, roh dan jasadnya telah renggang. Inilah sebenarnya yang memberi 'ruang kosong' untuk makhluk halus tetap boleh kembali mendiami di dalam tubuhnya.

Apabila dijampi oleh ustaz pawang, makhluk tersebut sebenarnya hanyalah keluar sekejap, merasa panas dan terbang bertenggek entah dimana-mana bahagian rumahnya atau menghisap rokok dulu di atas-atas pokok kayu. Lantaran 'ruang' yang tersedia di dalam tubuh gadis tersebut masih ada untuk didiami, maka dia akan masuk semula. Semakin besar 'ruang' tersebut, semakin lama dan selesa segala jin dan hantu ini akan berumah di situ. Kadang-kadang bukan seekor- dua bahkan sehingga 4-5 ekor.

Dengan penjelasan ringkas di atas dapatkah saudara gambarkan keadaan anak-anak gadis kita yang mudah terkena histeria itu? Hakikatnya, seorang ustaz yang pawang lagi dukun sebenarnya hanyalah penawar sementara bagi mereka. Penawar yang sebenarnya adalah diri mereka sendiri. Saya ulangi: penawar yang sebenarnya adalah diri mereka sendiri. Jika perlukan bantuan pun mungkin dari rakan baik dan saudara terdekat. Bagaimana? Kembalikan keyakinan diri gadis tersebut! Bagaimana ? Bergantung kepada apa yang melemahkan dirinya selama ini.. bertahun-tahun tanpa disedari sesiapa !

Perempuan yang telah ternoda selalu merasakan dirinya tidak cantik lagi. Ia sentiasa hidup dalam keadaan merasa ketidaksempurnaan. Perasaan ketidaksempurnaan itu kekadang tidak disedari oleh dirinya sendiri. Maka, ia menjadi pendiam dan rendah diri. Jika ia sedang bergembira pun sebenarnya ia tidak segembira orang lain. Dan sekali 'lintasan' makhluk halus berlaku, mudahlah melekat dalam dirinya. Maka, tugas kita (jika tahu) akan hal itu adalah mendatangkan kekuatan bagi dirinya.

Masalah seorang gadis yang selalu kerasukan histeria adalah masalah dirinya sendiri. Saya tidak hidup berdekatan dengannya. Kebanyakan orang pun tidak mampu menolongnya. Kecuali ustaz yang dukun lagi pawang yang mampu memberi penawar sementara. Apa yang mereka boleh lakukan adalah menyayangi diri mereka sendiri. Menjadi lebih berani dan yakin.

Bagi sebuah keluarga yang suka mencerca, anak gadisnya yang cantik pun akan mendewasa sebagai seorang yang rendah diri. Bagi sekolah yang mementingkan gred, pelajar yang lemah dalam pelajaran akan dihina bahkan tidak diterima untuk ke sekolah tersebut. Bagi seorang gadis yang telah ternoda, dia tidak melihat lagi kemudaan dan kesucian hatinya sebagai satu nilai yang akan dihargai oleh seorang lelaki yang dicintai. Hati mereka terisi dengan ketakutan dan benci. Takut kalah dalam penghidupan dan benci pada diri mereka sendiri. Roh mereka membenci jasad. Bagi mereka jasad mereka amat buruk dan hodoh. Amat kotor dan jijik. Sedangkan itu semua adalah sangkaan palsu semata-mata.

Maka menjadi tugas guru-guru, teman baik dan yang terpenting sekali diri sendiri, untuk berusaha kembali merapatkan roh dan jasad yang sudah renggang itu. Memaafkan diri sendiri adalah langkah pertama yang biasa kita dengar. Kembali kepada mempercayai diri sendiri sebagai seorang yang hebat adalah langkah seterusnya. Bersyukur dengan kurniaan Tuhan Allah swt terhadap segala ujian dan mehnah-Nya. Bergembiralah dengan sebenar-benar kegembiraan. Percaya bahawa anda sebenarnya tidak kekurangan apa-apa akibat tragedi masa lalu itu. Apakah ianya sukar ?

Ia adalah satu pembinaan keyakinan diri. Ia mengambil sedikit masa. Tetapi tidak lama sebagaimana tragedi masa lalu yang telah memupuk perasaan anda menjadi orang yang lemah. Percayalah jika roh anda mula menyintai jasad anda semula,bila jiwa anda mula percaya bahawa anda sebenarnya seorang gadis yang cantik , hebat dan berani, tidak ada jin dan syaitan yang selesa duduk diam dalam tubuh anda. Tiada ruang lagi untuk mereka. Jika 'ruang' itu telah merapat.
Kejap dan erat. Telah berdiri seorang gadis yang penuh dengan keyakinan diri. Maka syaitan dan jin akan terkeluar dengan sendirinya. Bagaimana mereka hendak masuk semula jika ruang kosong sudah tidak ada! Tidak perlu lagi ustaz yang dukun lagi pawang dipanggil merawati seorang gadis yang terpekik terlolong tidak menerima dirinya sendiri yang akhirnya jin dan syaitan jua memperkudakan jasadnya.

Cintailah diri sendiri. Menjadi lebih berani. Percaya anda hebat dan disayangi.

Bukan akhir kata, kerana ada 2 lagi mangsa histeria di atas yang belum saya ulas. Akan saya sambung pada kesempatan yang lain. Semoga yang pertama ini dapat dijadikan sedikit pedoman buat rakan dan diri sendiri. Masa pun terkejar-kejar.. sedang banyak lagi yang hendak di'keyboard'kan.. sekian dulu.

Kiyai Reformis bersama anak rumaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan