Isnin, 30 Mei 2011
Agama Bukan Mesin Kira
Ketua Panel Syariah ESQ nafi program menyeleweng
Berita Harian Online 2010/07/09
KUALA LUMPUR: Ketua Panel Syariah ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ), Datuk Mustafa Abdul Rahman yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menafikan dan menyangkal dakwaan wujud unsur penyelewengan dan kesesatan dalam program motivasi syarikat itu.
Apa kaitan cerita saya ini dengan isu di atas?
Suatu hari saya berada di sebuah hospital pakar di JB bagi mendapatkan rawatan ayah saya yang sakit. Sakit pada tangannya. Doktor tidak dapat mengesan jenis sakitnya tetapi melibatkan hujung saraf-saraf di tangan kirinya. (Ayah telahpun meninggal dunia tetapi akibat kanser)
Ketika itu di sebelah ayah ada seorang akauntan berumur 35 tahun menurut katanya.Dia pun sedang sakit juga. Sakit yang tidak biasa orang lain dapat. Dia tidak boleh membaca. Dia pandai membaca, tetapi sekarang ini dia tidak boleh membaca. Jenis sakitnya itulah, dia tidak boleh membaca. Jika dia membaca dia akan jatuh pengsan.
Saya berbicara dengannya sementara dia menunggu namanya dipanggil. Dia kelihatan sihat, cuma katanya dia tidak boleh membaca. Jika dia membaca atau mengira dia, dalam beberapa minit dia akan pitam. Doktor tidak dapat mengesan apa punca penyakitnya.Dia tahu hal itu kerana bukanlah pertama kali dia mendapatkan rawatan dan meminta nasihat doktor.
Gajinya tidak kurang RM lima belas ribu! 3/4 rambutnya telah beruban walaupun baru berumur 35 tahun. Saya mintanya berehat dari bekerja. Dia tidak mahu. Hidup mesti bekerja katanya. Saya katakan lagi bukannya berehat selamanya, tetapi mengambil cuti sementara dia sakit.
Katanya jika dia bercuti, dia nak buat apa? Saya kata berehat saja. Gaji pun bukannya sedikit. Jagalah badan juga. Dia kata doktor tak dapat mengesan sakitnya. Saya kata sabar, insyaAllah akan sembuh.
Dia seperti marah. Dia jawab,'Semua orang kata macam awak, sabar, sabar, sabar, tetapi yang menanggungnya saya' Alamak kenapa dengan dia ni? getus hati saya.
'Ya lah, sabarlah, banyakkan berdoa kepada Allah, mudah-mudahan Allah akan sembuhkan penyakit awak. Banyakkanlah sembahyang hajat.' Saya cuba memberikan harapan kepadanya. Dia tidak senang dengan kata-kata saya.
' Semua orang bercakap macam awak, sabar, berdoa, tetapi yang menanggung saya. Saya yang menderita dengan penyakit ini. Awak tak rasa, kalau awak rasa baru awak tahu. Setakat sabar-sabar, berdoa semua orang boleh cakap.' Seperti akan saya tinggalkan saja Mamat akauntan ini. Tak boleh dengar nasihat.
Untuk kesekian kalinya saya mengulang perkataan yang hampir sama, saya katakannya padanya' Awak bersabar, mungkin ada hikmah Allah nak berikan pada awak. Awak hanya tak boleh membaca, bukannya sakit terbaring. Hanya bila membaca saja awak pitam.Keluar bercuti, melihat pandangan yang inda-indah, jangan asyik nak mengira dan menulis saja.. Maka berehatlah, banyakkan berdoa kepada Allah, insyaAllah akan sembuh.
Dia menolak saranan saya dengan jawapan yang amat mengecewakan. Katanya; ' Kenapa saya sakit semacam ini? Saya bukan orang jahat.Saya bukan tak sembahyang.Awak dan orang lain semua suruh saya berdoa. Awak ingat saya tidak berdoa? Dah puas saya sembahyang hajat, tapi sakit saya tidak sembuh juga. Kalau nak kira jahat banyak lagi kawan-kawan saya yang lebih jahat, minum arak dan 'main' perempuan, tak ada pun mereka sakit apa -apa. Apa lagi saya nak buat, jumpa doktor, doktor pun tak tahu sakit apa.'
Jika begitu jawaban akauntan ini maka saya dah tahu apa sakitnya. Sakit seorang akauntan dan penyakit itulah yang membuatkan dia menjadi seorang akauntan. Sakit -MENGANGGAP AGAMA SEPERTI MESIN KIRA-KIRA !
Beberapa detik sebelum dia dipanggil bertemu doktor saya sempat berkata kepadanya,' Saudara, jika selama ini saudara sembahyang supaya dapat kesembuhan penyakit, memang penyakit saudara tidak akan sembuh. Tetapi jika saudara sembahyang semata-mata untuk mendapatkah ALLAH, tentu Allah akan sembuhkan penyakit saudara. Agama bukan 'calculator'. Betulkan niat saudara..
Kemudian dia pun pergi. Kasihan... dia amat kecewa. Kita tinggalkan cerita itu.
Akauntan ini telah salah dalam memahami agama. Mungkin ketika kecil ibunya selalu berkata, nak pandai mesti baca buku. Dia membaca buku dan dia pun menjadi pandai. Nak lulus periksa mesti berdoa, maka dia pun berdoa maka luluslah dia peperiksaan. Dia sangat lurus, itulah perangai seorang bakal akauntan.
Begitulah ketika di universiti, belajar rajin-rajin mesti dapat cemerlang, dia pun rajin belajar dan dapat cemerlang. Kalau belajar pandai nanti dapat jadi akauntan, dapat gaji RM 15 -20 ribu. Dia belajar pandai, dapat jadi akauntan dan dia pun dapat gaji RM 15 - 20 ribu.
Begitu juga dengan kunci kira-kira. Macamana pusing pun keluar- masuk duit, akaun mesti berimbang. Dia pun menyusun segala bil dan perbelanjaan wang keluar masuk, 5 sen pun akan dikoreknya... dan akaunnya pasti akan seimbang! Itulah akauntan.
Setelah sekian lama membuat kira-kira, maka dalam beragama pun dia berfikiran begitu. Disangkanya agama itu seperti calculator. Bila berdoa mesti diperkenankan. Bila bersembahyang mesti masuk syurga. Bila jahat mesti hidup akan susah. Bila malas pasti akan jadi miskin. Orang miskin pasti sebab mereka malas. Orang susah sebab tak mahu berusaha. Orang bodoh sebab tak mahu belajar. Orang ditimpa bencana tidak lain kerana dilaknat Tuhan.
Akhirnya dia kecewa bila dia sakit, mengapa tidak sembuh. Dia telah berdoa mengapa Allah tidak kabulkan. Dia telah bersembahyang hajat, mengapa Tuhan tidak penuhi hajatnya seperti masa-masa yang lalu... dia amat kecewa.
Begitulah saudara-saudariku muslimin dan muslimat, bukan semua pelajaran dan perbuatan yang baik akan membawa kita kepada Tuhan, sebelum di akhirat nanti menjadi kehairanan, eloklah ditanya dan di fahami betul 'hakikat' niat tuan-tuan. Dan kenalilah bener-benar 'hakikat' ketuhanan Allah yang tuan-tuan sembah. Dalam apa bidang sekalipun. Kekuatan ESQ amat penting, tetapi kekuatan itu tidak akan sekali-kali akan mendahului Tuhan dalam hidup ini.
Saya cenderung kepada kumpulan yang mengharamkan sebahagian Modul ESQ, tentu ada sesuatu dalam hal aqidah ini yang lebih perlu diteliti, dalam melahirkan kumpulan manusia yang lebih bertanggungjawab, rajin berusaha, dan lebih memahami antara usaha manusia dan 'ketentuan' Tuhan ALLAH swt.
Sekian'
'Kiyai Reformis Bersama Orang Muda
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan