KENYATAAN MANAKAH YANG BENAR BAGI ANDA DI HARI INI ?

'Like' dan bagi komen..

Isnin, 12 Julai 2010

Benarkah Mak Bidan Membela Polong?



Banyak perkara yang datang tanpa sebab. Maka, aku perlu bertanya mengapa ia datang? Masakan aku harus melakukan sesuatu tanpa sebab. Berikan hujah kepadaku. Kemudian akal waras ku mungkin akan menerimanya. Jangan paksa aku untuk menerima kebodohan itu. Apa yang kamu lakukan itu hanya satu kebodohan. Aku sekali-kali tidak akan mematuhinya tanpa sebab dan soal.

Ketika anak sulung kami lahir, kami tiga beranak 'terpaksa' tidur di rumah ibu mertuaku. Pelbagai dalih aku berikan untuk tidak mahu bermalam di rumahnya. Aku suka untuk 'merawat' isteriku dan menguruskan bayi kami yang baru lahir ini sendirian. Tetapi mereka seperti memaksa. Bagaimana tidak aku katakan memaksa. Anakku dikelek oleh mak mentuaku dari hospital terus dibawa balik ke rumahnya! Ok lah.... aku terpaksa menurutinya. Nenek mana yang tak sayang cucu. Cucu yang sulung pulak tu.

Isteriku diuruti 3 hari berturut-turut oleh mak bidan kampung. Dia juga memandikan anakku. Terima kasih untuk kerja mudah yang dilaksanakan dengan gambaran seolah-olah 'amat berat' itu. Aku diminta membeli kemenyan arab untuk memperasap isteriku. Ah.. ini yang leceh. Aku bertanya untuk apa kemenyan arab itu?. Dia kata, 'beli saja!'

Kemenyan dibakar dalam mangkuk perasap. (Aduhai bencinya aku untuk menyediakan bekas perasapan yang bodoh ini.) Isteriku disuruh berdiri mengangkang dan perasapan itu diletakkan di bawah kangkangnya. Untuk apa semua ini?? Apakah kalian tahu perasapan itu untuk apa?? Jika kalian tidak tahu, aku akan bertahu sebabnya nanti.Bila aku tanya mak bidan semua itu untuk apa, dia minta aku diam-diam dan menurut saja. Aku diam dengan perasaan benci. Bukan apa, mak bidan itu pula adalah nenek saudara sebelah isteriku...

Perasapan itu adalah satu kerja bodoh. Tidak memberi guna sedikitpun. Suatu masa dahulu kebanyakan bidan kampung perlu 'menuntut' ilmu-ilmu rahsia bagi tujuan mempersiapkan diri untuk menjadi bidan yang handal. Mungkin ada amalan tertentu atau bacaan tertentu diamalkan bagi tujuan tersebut. Akhirnya mak bidan itu mendapat pengiring yang di panggil 'POLONG'. Samada mak bidan sedar atau tidak dalam urusan rawatan perempuan lepas bersalin, ia membawa bersama-samanya polong tersebut. Polong kerjanya menghisap darah. Maka, untuk merawat perempuan lepas bersalin perlulah dibakar kemenyan arab agar polong itu datang dan 'menjilat-jilat' darah haid perempuan tersebut.

Apa yang aku pasti, mak bidan yang merawat isteriku bukanlah seorang pembela polong.Dia hanya seorang nenek saudara isteriku yang tidak tahu banyak perkara. Ia hanya ikut-ikutan!

Sejarah bidan pembela polong telah berlalu puluhan tahun bahkan seratus tahun yang lalu. Hari ini tidak ada lagi. Yang ada cuma mak bidan temberang yang mengikut-ikut saja. Dilihatnya mak bidan sebelumnya melakukannya, maka, dia pun melakukannya juga. Mak bidan sebelumnya pun temberang juga. Apa yang mak bidan itu tidak tahu wangian kemenyan itu adalah sebahagian dari jenis 'makanan' jin. Bila kemenyan telah dibakar maka datanglah jin. Apa yang mak bidan sekarang ini tahu? Tahukah dia jin jin telah datang atau tidak? Dia hanya membuat perasapan saja. Kemenyan telah di bakar. Diperasap di bawah kangkang isteri saya!

Maka saya tidak suka ini semua. Tetapi mak bidan suruh saya diam. Dia membuat kerja bodoh. Dan menyuruh orang lain mengikut bodohnya.

Bila tiba waktu makan, isteri saya diberikan nasi penuh satu pinggan. Lauknya cuma bilis tumbuk. Kadang-kadang digoreng. Kadang-kadang ada sayur bening kosong. Saya hairan mengapa nasinya banyak sangat sampai penuh pinggan. Rupa-rupanya orang dalam pantang tak boleh bertambah nasi. Ini satu lagi fahaman bodoh. Sudahlah tidak berlauk. Nasi pula penuh satu pinggan.

Bila saya fikir-fikir balik, rupanya tidaklah bodoh sangat hal tersebut. Orang dalam pantang tidaklah baik jika perutnya kosong.Tetapi siapalah yang hendak melayan orang dalam pantang jika ingin menambah nasi. Isikan penuh terus lagi baik. Tak perlu menyusahkan orang. Nasi yang banyak pula perlukan lauk yang banyak juga. Maka dikatakanlah pantang itu dan pantang ini. Jimat sedikit belanja.

Mertua saya tidaklah sekedekut itu untuk membeli lauk. Baginya jika boleh dimakan lauk yang sedap-sedap agaknya akan dibelikannya juga untuk isteri saya itu. Tapi ini pantang orang tua-tua. Jangan dilanggar. Jika saya tanya mengapa makan nasi banyak sangat tapi cuma berlauk bilis goreng?

Katanya; 'Shyy.. ikut saja cakap orang tua !'. Aduhai..,bosannya... tapi tak apalah.

Beberapa hari kemudian kami meminta izin untuk balik ke rumah kami. Sayalah yang akan menjaga sendiri isteri saya. Pesan akan buat kenduri doa selamat, potong jambul, seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja. Tidak ada fikiran tentang kenduri kendara bagi saya. Saya sudah sangat gembira dapat seorang anak lelaki sulung. Duit pun bukannya banyak sangat untuk terlalu memikirkan hal kenduri yang remeh tak berapa perlu itu. Dari beri makan Pak Imam Kakek Tua, baik duit saya belikan susu anak dan baju baru anak saya.

Sebelum pulang saya terpandang kepada satu ikatan lidi yang telah dicucuk dengan bawang putih (atau bawang merah-saya lupa). Lidi itu diletakkan dalam bakul bersalin isteri saya. Dengan senyum saya tanya pada wak saya; 'Ini apa benda pulak?'

Dengan yakinnya dia berkata;' Ah ini bawa je balik, orang tempat awak tak de macam ni... letak je sebelah budak (anak saya) kat rumah nanti.' Dalam hati saya terdetik, ' ini PASUNG!'.

Sampai di rumah jam lebih kurang pukul 1 tengahari. Saya menyuruh isteri saya tidur di bilik. Saya membuat persiapan apa yang patut di rumah. Tidak sampai sepuluh minit isteri saya tidur, isteri saya telah diganggu sesuatu. Saya dengar suaranya mengerang. Sekejap dia memanggil, 'abang.. abang!' Saya meluru masuk ke bilik. Isteri saya dalam keadaan tidur separuh sedar. Saya mengejutkannya dan berselawat. Saya usap-usap mukanya. Bila ia sedar, dia kata dia diganggu sesuatu

Saya katakan pada isteri saya,' Betul tak apa yang abang kata dalam kereta tadi? Lidi ini sebenarnya telah berfungsi sebagai PSAUNG HANTU!. Minta maaf saja, abang akan membuangkannya ke parit depan rumah. Betul-betul benda ini tidak berguna.' Maka saya terus keluar rumah dan membuang lidi bercucuk bawang itu ke dalam parit. Gangguan itu pun hilang, sekali pun tidak ada lagi selepas itu.

Sebenarnya, ketika di dalam perjalanan pulang saya telah memberitahu isteri saya bahawa lidi tersebut tidak berguna. Ia adalah kerja karut dan bodoh. Saya tak kata nenek saudara awak membela polong. Dia hanya mengikut-ikut apa orang buat. Tapi lantaran dia membuat pasung, maka adalah hantu dan jin yang terpasung di situ!.Bila berlaku hal begini apa yang nenek awak tahu?

Suatu masa dahulu, mak bidan yang merawat bayi, akan meninggalkan lidi penyapu di bawah buaian selepas menangkal bayi yang menangis. Tahukah tuan-tuan apa gunanya penyapu tersebut? Penyapu tersebut adalah tempat permainan jin dan syaitan. Jin dan syaitan suka pada benda yang kotor.Penyapu itu benda kotor. Sebab itu bila dipukul dengan penyapu itu 'sial' bagi orang melayu. Bukan saja sial dipukul dengan penyapu, bahkan di sebahagian negeri (kini Selangor?) memberikan penyapu sebagai hadiah pun alamat akan mendapat 'sial' kepada kedua-dua yang memberi atau menerimanya juga.. (wallahu a'lam..)

Mak bidan yang membela polong akan meninggalkan penyapu tersebut dengan harapan jika bayi tersebut menangis lagi dia akan dipanggil semula untuk menangkal bayi tersebut. Jadilah dia seperti seorang yang penting, dan ada sedikit 'income' entahkan semangkuk asam dan garam, atau duit 2-3 ringgit upah menangkal. Lidi tersebut berfungsi sebagai penambat 'hantu' belaannya di bawah buaian. Untuk lebih berkesan maka dicucuk lidi tersebut dengan bawang putih sebagai pasung. Jin yang bermain-main pada penyapu tersebut 'seolah-olah' telah terikat atau terpasung pada lidi yang dicucuk bawang tersebut.

Apabila bayi ditinggalkan keseorangan maka, maka merayap-rayaplah tangan jin tersebut mengganggu bayi tersebut yang sedang tidur hingga sesaklah nafas bayi tersebut. Atau bayi itu terlihat akan sesuatu.Mak bidan pun dipanggil lagi, menangkal lagi dan kelihatanlah ia seorang yang amat hebat. Esok lusa pun dapatlah dia sedikit 'income' lagi sebagai bayaran pengeras...

Saya percaya mak bidan nenek saudara saya itu tidaklah punya ilmu apa sangat. Dia berminat menjadi bidan sebagai 'side income' dek berpengalaman kerana beranak ramai. Dia pun mengurut perut orang yang mengandung, mengurut orang lepas bersalin..

Justeru ingin kelihatan lebih hebat dengan 'adat lama' maka diperbuatnyalah apa yang diperbuat oleh orang lain, orang melilit benang hitam, maka dia pun menangkal dengan simpulan benang hitam juga, orang berlidi dia pun berlidi juga, orang membakar kemenyan arab, dia pun membakar kemenyam arab juga. Sedang dia pun sebenarnya hanya tahu mengurut perut saja!.

Akhir kata janganlah kita memperbuat sesuatu dengan mengikut-ikut saja. Andaikata tidak terjadi apa-apa tidaklah mengapa. Tetapi bagaimana dengan mengamalkan 'adat' seperti menyucuk lidi dengan bawang putih yang kelihatan seperti tidak ada apa-apa, tetapi sebenarnya ia adalah 'PASUNG HANTU' ??

Anda seperti bermain-main tetapi anda telah menganggu kehidupan di alam lain? Apatah lagi dengan berbuat sesuatu lantaran 'adat' yang dipusakakan dari agama lain yang cenderung menyembah hantu dan jin? Yang mana ribuan tahun dahulu tiap-tiap yang mereka perbuat datangnya dari nasihat-nasihat dan bisikan-bisikan hantu syaitan yang mereka nisbahkan sebagai tuhan?

Sekian dari Kiyai Reformis Wassalamualaikum...
'Kiyai Reformis Bersama Orang Muda

Tiada ulasan:

Catat Ulasan