KENYATAAN MANAKAH YANG BENAR BAGI ANDA DI HARI INI ?

'Like' dan bagi komen..

Khamis, 1 Julai 2010

Kenapa Tak Kahwin Lari Saja...?


Kasihan aku lihat anak muda bekerja di kilang.. pendapatan cuma RM 5-6 ratus. Bagaimana mereka akan berkahwin dengan perbelanjaan kahwin RM 10-15 ribu... Ulama mana yang peduli akan hal begini.. Tahu marah pada orang muda peleseran saja.. mereka pun ada 'keinginan'.. Susah bila ulama, ustaz dan ustazah gila cari duit, giler glamour.. Tahu sibuk hal remaja buang bayi... bila nak bernikah macam-macam kerenah dari pejabat agama.. borang itu, borang ini.. kursus itu, kursus ini... mak bapak minta belanja tinggi-tinggi tak siapa menegur...

Dapatkah anda bayangkan, remaja ini keluar bekerja dinihari.. kalau gaji sehari RM 20, sebulan tak sampai pun RM 600. Pergi naik motor sendiri atau naik bas kilang. Kalau kerja lebih masa tetap tak sampai RM 1000. Sekitar RM 900 begitu.. Setahun kerja tak tinggal overtime.. bersanding pun rupa dah macam tengkorak kering. Itu nasib baik jika dua tahun kerja tak ada aral yang melintang. Kalau eksiden.. terlantar di hospital.. atau motor rosak yang perlu pembaikan. Sedang belanja perkahwinan 7-8 ribu. Itu hanya untuk masuk dalam album saja. Belum lagi dalam dulang. Cincin dan rantai lagi.Itu sudah dalam proses bertunang. Masa merisik sebelumnya, sebentuk cincin tanya dan sepasang baju dah tentu punya..

Biasanya 'ikat' dua tahun, kalau kumpul RM 300 sebulan, setahun dapat RM 3600, di darab dengan 2 tahun dapatlah RM 7200. Jumlah itu hanya untuk disumbat dalam album saja, belum belanja yang lain! Dua tahun bertunang, macam-macam perkara yang boleh berlaku.. ketelanjuran, buang bayi bahkan membunuh bayi mereka. Aku fikir 'bersihkah' anak-anak pak lebai ini dalam tempoh bertunang mereka. Jahil-jahil orang kampung saya jika mengandung, mereka tak gugurkan bayi. Tidak ada kes bunuh dan tanam bayi terbongkar di kampung saya. Kes terberanak anak luar nikah baru-baru ni ada berlaku.

Kadang-kadang termasuk dalam fikiran saya anak 'siapa' yang 'TEROVER' malu jika mengandung ini? Anak siapa yang sanggup membunuh bayi untuk menjaga "NAMA BAIK' emak ayah dan keluarganya? Anak cik Minah Gagap kah, Anak Fatimah Jongangkah? Anak Atan pekakkah? Atau anak ustaz dan ustazah? Atau anak pak Imam dan noja surau? Anak Tuan Pengetua yang nampak terhormat itu kah??? Sedang Pak Atan Si pekak itu amat sayang kepada cucunya walaupun cucunya itu anak luar nikah!

Wahai Ustaz dan ustazah... kembalilah ke pangkal jalan... nikahkanlah anak-anakmu dengan mudah. Jangan mengikut perangai orang jahil yang meletakkan belanja terlalu tinggi.. Jagalah kehormatan keluargamu, jangan pula seperti kamu lebih jahil dari orang lain.. alim jenis apa kebanyakan kamu ini?

Bila menasihati orang lain fatwa kamulah yang terhebat! Kamu pun sedia tahu bukan bahawa perempuan bertudung labuh itu sama lemahnya dengan gadis yang suka bertelanjang? Bukankah kamu sedia tahu bahawa wanita yang bertudung labuh itu punya hawa dan nafsu sama saja dengan bohsia yang di rempit? Baikkah anak kamu rajin bersembahyang dan pandai mengaji itu??? Jangan hipokrit!.

Tidak kira siapa remaja itu, siapapun ibu-bapanya, mereka punya hak yang sama untuk berkahwin. Permudahkanlah urusan mereka. Sabda Rasulullah: 'Perempuan yang barakah itu, cepat nikahnya, murah belanjanya, dan ramai anaknya.'

Soalannya; Berapakah kos pertunangan anak seorang ulama terkenal di Malaysia?
Berapakah belanja perkahwinan anak seorang ustaz terkenal di Malaysia ini?

RM 10 000 ? atau RM 20 000 ???

.. yang tidak terkenal itu tak payah katalah.. anak kamu lebih mahal lagi. Sebab kamu lebih jahil dari ustaz yang terkenal itu. Itu sebabnya ingin saya menyeru, Kembalilah ke pangkal jalan. Janganlah kamu sekelian hanya pandai menyeru anak-anak remaja agar kembali ke pangkal jalan sedang kamu sendiri sesat bersama syaitan yang membisik-bisikan kemegahan dan pembaziran.

Esok.., mereka ini akan berbicara lagi samada di TV atau di radio, menyeru pada mat-mat dan minah-minah kilang, atau pelajar IPTA dan IPTS agar menjaga diri, jangan berzina, jangan berkhalwat, jangan buang bayi.. Pelbagai hujah dan dalil mereka akan lontarkan. Meminta remaja-remaja ini menahan diri dengan berpuasa. Tidakkah mereka tahu remaja-remaja ini pada bulan Ramadhan pun mereka tidak berpuasa? Justeru mereka tidak layak untuk berkahwin?

Selagi jeritan batin aku ini tidak didengari, aku akan sentiasa menulis perihal begini. Inilah saja bantuan yang dapat aku berikan pada anak muda yang amat terhimpit dengan isu-isu basi sekian lama. Bagaimana mereka akan mencegah zina dengan menyusahkan urusan perkahwinan? Bagaimana mereka ini akan mencegah gejala pembuangan bayi selagi belanja perkahwinan tidak diturunkan? Bagaimana mereka akan menyelesaikan isu-isu maksiat remaja selagi ibu bapa yang sombong dan bongkak ini tidak di hina dengan cercaan penurut syaitan.

Sekali-kali aku tidak akan menuruti jejak YAHUDI dan NASRANI dalam menyelesaikan masalah umat ini. Penyelesaian yang penuh hipokrasi dan syaitani. Untuk orang muda yang ingin mempertahankan cintanya yang tidak direstui.. aku cadangkan jangan terlibat dengan maksiat zina sekali-kali.

Seribu kali lebih baik dan direstui Ilahi ... Kahwin Lari!

Sekian Jumpa Lagi..
'Kiyai Agung Bersama Orang Muda'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan